Privacy Policy

Dasar Keselamatan Data
Integrated National Education Information System
Yakni (iNEISTM)

Penerangan
Dasar Keselamatan Data Integrated National Education Information System (iNEISTM) adalah terikat kepada semua pegawai kerajaan dan kakitangan Kerajaan Negara Brunei Darussalam di sekolah-sekolah dan Jabatan/Bahagian di Kementerian Pendidikan yang diberikan akses kepada iNEISTM. Adalah juga menjadi syarat untuk akses kepada iNEISTM bahawa dokumen Pengakuan Yang Ditandatangani oleh Kakitangan Awam berkaitan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA-1) perlu ditandatangani terlebih dahulu.

Tujuan
Semua pengguna iNEISTM adalah terikat dengan Dasar Keselamatan Data ini untuk memastikan bahawa semua maklumat yang diselenggarakan di bawah iNEISTM tidak terjejas dan sentiasa dirahsiakan, untuk mengelakkan iNEISTM dari digunakan sebagai saluran bagi apa-apa aktiviti tidak rasmi atau menyalahi undang-undang dan, untuk memastikan keutuhan data dalam iNEISTM.

Semua pengguna iNEISTM (selepas ini disebut sebagai “Pengguna”) MESTILAH membaca, memahami dan bersetuju dengan Dasar Keselamatan Data iNEISTM sebagaimana yang dinyatakan di bawah ini:

1. Perlindungan Kata Laluan

a. Kata laluan hendaklah sentiasa dirahsiakan dan dalam apa-apa hal keadaaan tidak akan didedahkan atau dikongsi oleh Pengguna. Kata laluan semestinya tidak dicatat atau direkodkan oleh Pengguna.

b. Semua Pengguna mestilah mematuhi sebarang kehendak undang-undang berkaitan dengan penggunaan maklumat dan dokumen rasmi dan penggunaan komputer yang dinyatakan dalam Akta Rahsia Rasmi (Penggal 153 Undang-Undang Negara Brunei Darussalam), Akta Penyalahgunaan Komputer (Penggal 194 Undang-Undang Negara Brunei Darussalam), Akta Transaksi Elektronik (Penggal 196 Undang-Undang Negara Brunei Darussalam) dan sebarang undang-undang atau peraturan lain yang berkuatkuasa dari masa ke semasa.

c. Semua Pengguna mestilah memastikan log keluar dengan betul dari iNEISTM sebelum meninggalkan tempat bekerja.

2. Memelihara Kerahsiaan

Pengguna hendaklah:

a. bertanggungjawab untuk memastikan bahawa maklumat sulit terus dilindungi dan tidak akan dikongsi dengan cara yang tidak sepatutnya;

b. dibenarkan mendapat peringkat akses yang bersesuaian bagi maklumat yang diakses dalam iNEISTM dan semua maklumat tersebut mestilah digunakan hanya bagi tujuan Kementerian atau Jabatan sahaja yang dibenarkan dengan nyata oleh Kementerian, Jabatan atau sebarang undang-undang dan peraturan lain yang dikenakan;

c. tidak mendedahkan apa-apa maklumat sulit dalam iNEISTM kepada mana-mana pihak ketiga melainkan jika mempunyai autoriti, akses dan kebenaran yang diperlukan untuk berbuat demikian.

3. Memastikan Keutuhan Data

a. Semua Pengguna mestilah memastikan maklumat yang disediakan dalam iNEISTM adalah betul dan lengkap. Memasukkan dengan sengaja atau menggunakan maklumat yang tidak betul dalam iNEISTM adalah dilarang dan akan diambil tindakan tatatertib.

4. Melaporkan Akses Tanpa Kebenaran

a. Semua Pengguna mestilah melaporkan dengan serta-merta penyalahgunaan yang disyaki atau akses tanpa kebenaran dan/atau pendedahan data iNEISTM atau melaporkan kepada penyelia mereka atau pentadbir sistem.

5. Menghalang Aktiviti Tidak Rasmi atau Menyalahi Undang-Undang

Semua Pengguna hendaklah :

a. menggunakan sistem hanya untuk aktiviti-aktiviti yang berhubungkait dengan kerja rasmi dan tujuan-tujuan yang dibenarkan oleh Kementerian atau Jabatan;

b. tidak mengumpul, menyimpan, menggunakan, mendedahkan dan memindahkan data iNEISTM dan laporan elektronik atau kertas bagi kerja yang berhubungkait dengan peribadi dan bukan kerajaan atau tidak rasmi. Ini termasuklah maklumat peribadi mengenai pelajar dan kakitangan kerajaan dan juga maklumat yang dikumpul mengenai individu lain.

6. Kesalahan

a. Semua Pengguna mengakui bahawa sebarang kemungkiran dan pelanggaran terhadap Akta Rahsia Rasmi (Penggal 153 Undang-Undang Negara Brunei Darussalam) hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman dan penalti yang ditetapkan dalam Bab 18(2) dari Akta Rahsia Rasmi. Ini termasuk penjara tidak melebihi dari dua tahun, dan juga denda tidak melebihi dari sepuluh ribu ringgit.

7. Hak Kementerian dan Jabatan

a. Kerajaan berhak untuk menyekat atau membatalkan mana-mana akses Pengguna jika akses tersebut dianggap menjejaskan kepentingan Kerajaan;

b. Kerajaan mempunyai hak untuk memantau penggunaan kemudahan peng-komputeran dan penggunaan Internet oleh Pengguna iNEISTM, penggunaan tersebut juga tertakluk kepada audit. Semua Pengguna dengan ini mengakui bahawa kemudahan peng-komputeran dan apa-apa maklumat dalam iNEISTM termasuk emel, adalah dan hendaklah terus menjadi milik Kerajaan.

8. Dasar Sokongan

a. Semua dasar ICT Kerajaan, garis panduan dan amalan lain yang dikenakan, termasuk tetapi tidak terhad kepada Dasar Penggunaan Komputer Kerajaan, Dasar Akses dan Penggunaan Internet, manual keselamatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri atau mana-mana pihak kuasa lain berserta dengan sebarang pindaan yang dibuat dari masa ke semasa hendaklah dikenakan kepada penggunaan iNEISTM.

Last modified: Tuesday, 6 March 2018, 10:23 AM